Friday, October 30, 2009

Tentera AS campak al-Quran dalam lubang tandas

KUALA LUMPUR 29 Okt. - Penyeksaan yang dilalui oleh Sami Al-Hajj sepanjang berada dalam tahanan tentera Amerika Syarikat (AS) mungkin boleh disamakan dengan apa yang dikatakan sebagai 'neraka dunia'.

Begitulah yang digambarkan oleh rakyat Sudan itu sewaktu diminta menceritakan pengalamannya menjadi tahanan di kem tentera laut AS di Teluk Guantanamo, Cuba selama tujuh tahun sejak ditahan pada Disember 2001.

Katanya, daripada apa yang beliau dan tahanan lain lalui, bolehlah disimpulkan bahawa tentera AS langsung tidak menghormati agama Islam malah mereka tidak mempedulikan nyawa orang lain kecuali diri mereka sendiri.

Menurut Sami, peristiwa yang paling menyakitkan hatinya ialah ketika beliau nampak bagaimana askar-askar itu mengoyak dan mencampakkan kitab suci al-Quran ke dalam lubang tandas.

"Rasa sakit hati sukar digambarkan, terlalu sakit. Namun apa yang boleh kami lakukan ketika itu? Malah mereka melakukan pelbagai perkara untuk menjatuhkan maruah Islam dan membuatkan kami berasa rendah diri dan sakit hati," katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau merupakan seorang daripada ahli panel untuk sesi "Perang dan Media Massa" pada Persidangan Antarabangsa Menjenayahkan Perang anjuran Pertubuhan Keamanan Sedunia Perdana (PGPO) dan Yayasan Menjenayahkan Perang Kuala Lumpur (KLFCW) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Menurutnya, tahanan perang AS dikenakan pelbagai bentuk penderaan sehingga jika diceritakan mungkin ada yang tidak percaya bahawa ada yang sanggup bertindak seperti binatang terutama di zaman semua orang mengaku sebagai manusia bertamadun.

"Tahanan juga ditahan di dalam bilik yang lampunya dibuka selama 24 jam dan ini menyebabkan kami tidak tahu waktu siang atau malam.

"Ini membuatkan kami tidak tahu waktu solat malah kami juga tidak tahu bilakah sebenarnya bulan Ramadan, jadi sukar untuk kami menjalankan tanggungjawab sebagai seorang penganut Islam sepanjang ditahan di sana," katanya.

Sami yang bertugas sebagai wartawan dengan stesen televisyen Al-Jazeera ditahan ketika berada di sempadan Pakistan dan Afghanistan untuk membuat liputan perang selepas pencerobohan AS ke atas Afghanistan pada November 2001.

Tentera AS yang menahannya tidak mempedulikan penjelasan beliau malah terus menahannya di Bagram, Afghanistan sebelum dihantar ke Teluk Guantanamo dan ditahan selama tujuh tahun.

Menurut Sami, tahanan hanya diberi makanan sekali sehari dan kadang-kala dua hari sekali.

"Bukan itu sahaja, tahanan juga akan disumbat ke dalam bilik yang diperbuat daripada besi. Suhu bilik tersebut seperti peti sejuk dan kami dimasukkan ke sana selama beberapa jam tanpa pakaian kecuali seluar pendek," katanya.

Dalam pada itu, Sami berharap Malaysia dapat memainkan peranan penting dalam memperjuangkan keamanan sejagat.

"Saya lihat negara ini boleh memainkan peranan penting memandangkan sokongan kuat majoriti rakyatnya terhadap keamanan.

"Usaha bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga wajar dijadikan contoh oleh semua pemimpin di dunia, bukan sahaja pemimpin Islam tetapi tidak kira agama dan bangsa," ujarnya yang ditahan di Teluk Guantanamo sehingga tahun lalu.

Selain itu, beliau juga percaya pihak media massa mampu melakukan yang terbaik untuk mempengaruhi masyarakat dunia untuk membenci kekejaman dan paling penting mendesak agar perang dijadikan sebagai satu bentuk jenayah.

No comments: